Memulakan dan mengembangkan perniagaan ada ketikanya boleh menjadi perkara yang sangat sulit dan rumit- terutamanya buat mereka yang tidak mempunyai modal dan bantuan untuk berbuat demikian.
Jika anda merupakan seseorang yang sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap, proses ini mungkin akan menjadi lebih mudah apabila terdapat pelbagai bantuan kewangan yang disediakan.
Namun begitu, lain pula ceritanya jika anda seorang pelajar dan ingin memulakan perniagaan atau pun mengembangkan perniagaan sedia ada. Proses untuk mendapatkan bantuan kewangan atau kredit demi menjadi seorang usahawan sering saja berakhir dengan jalan buntu.
Tidak mahu para graduan terus terbeban dengan kekangan ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini telah melancarkan Program KPT-MEDAC Siswapreneur dengan peruntukan berjumlah RM20 juta.
Apa itu Program KPT-MEDAC Siswapreneur?
Buat anda yang masih belum jelas, program ini adalah merupakan kerjasama di antara KPT bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Apa yang menariknya mengenai program ini, mereka bakal menawarkan pembiayaan mikro kredit kepada golongan usahawan pelajar melalui TEKUN Nasional.
Melalui program ini, para pelajar akan berpeluang untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka semasa dalam tempoh pengajian, sekaligus dapat meringankan beban kewangan dan pada masa sama meningkatkan bilangan usahawan graduan.
Kerjasama itu baru-baru ini telah pun dimeterai secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Khamis lalu dan disaksikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan YB Dato’ Sri Dr. Hj. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri MEDAC.
“Saya berharap dengan adanya program seumpama ini, para usahawan pelajar akan dapat dibantu dan beban kewangan mereka insyallah dapat diringankan. Jadinya saya punya harapan kepada para pelajar semua, kita rebutlah peluang yang ada ini.
“Semoga lebih ramai lagi usahawan pelajar dapat dilahirkan dan hasrat kita untuk menjadikan malaysia sebagai negara keusahawanan ini insyallah kita akan dapat direalisasikan,” jelas Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam sidang media pada Khamis.
Sebagai permulaan, Program KPT-MEDAC Siswapreneur akan dilaksanakan secara rintis di 15 buah IPT terpilih untuk tempoh enam bulan pertama sebelum diperluaskan kepada IPT lain.
Antara IPT yang terlibat adalah empat buah (4) Universiti Awam dan sebelas (11) buah politeknik dan kolej komuniti, iaitu;
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
- Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
- Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS)
- Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS)
- Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)
- Politeknik Sandakan Sabah (PSS)
- Politeknik Ungku Omar (PUO)
- Politeknik Kuching, Sarawak (PKS)
- Kolej Komuniti Baling
- Kolej Komuniti Kok Lanas
- Kolej Komuniti Arau
- Kolej Komuniti Manjung
- Kolej Komuniti Masjid Tanah
Jika anda merupakan salah seorang daripada penuntut di institusi-institusi yang tersenarai dan terpilih untuk program rintis ini, anda boleh membuat permohonan melalui IPT masing-masing.
Selepas membuat permohonan, Pusat/Unit Keusahawanan IPT akan membuat saringan ke atas permohonan pembiayaan daripada usahawan pelajar yang berpotensi sebelum dikemukakan kepada TEKUN Nasional untuk kelulusan.
Mohon Masukkan Kolej Komiditi Pasir Gudang ( Bagi Kolej Di Johor)